Apr 16, 2023 - FASSelangor layak ke pusingan Suku Akhir Piala FA 2023 setelah menewaskan Sri Pahang FC dengan keputusan 4-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.
Statistik perlawanan melihat 18 percubaan, 10 sepakan ‘On Target’ dan 6 sepakan penjuru. Pemain tempatan menjadi penjaring keempat-empat gol dalam perlawanan ini. Dua jaringan pertama dijaringkan oleh Mukhairi Ajmal pada minit ke-40 dan ke-58, gol ketiga dijaringkan oleh Faisal Halim pada minit ke-67 dan Brendan Gan meledak gol penutup pada minit ke-72 perlawanan.
Menurut Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Selangor FC, merasakan pasukan layak mendapat kemenangan semalam dengan corak permainan yang dipamerkan.
“Pemain-pemain telah menunjukkan ‘tactical discipline’ yang cukup baik pada malam ini sebaik sahaja perlawanan bermula. Kemenangan ini adalah hasil daripada konsentrasi dan kerjasama dalam pasukan yang baik sehingga dapat menjaringkan empat jaringn gol. Saya berharap pasukan dapat mengekalkan cara bermain seperti malam semalam,” puji Tan Cheng Hoe.
Daripada perlawanan #SELSRP dalam saingan Piala FA peringkat Round 16 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
Mukhairi Ajmal mengaum!
Pemain berusia 22 tahun yang berpotensi tinggi terus mempamerkan aksi cemerlang beliau untuk musim ini. Beliau telah menjaringkan dua gol, satu gol pembukaan pada minit ke-40 dengan jaringan rembatan luar kotak yang menjadi antara salah satu kelebihan pemain ini dan satu jaringan pada minit ke-58. Mukhairi merupakan antara pemain muda Gergasi Merah yang mempunyai rekod yang baik pada tahun lalu dan telah dianugerahkan sebagai penyandang Gol Terbaik musim 2022.
Kapten pasukan memastikan pasukan layak ke Suku Akhir Piala FA
Brendan Gan telah meledak masuk jaringan yang sangat menakjubkan selepas menerima leretan daripada Yohandry Orozco pada minit ke-72.
Persembahan Orozco yang cemerlang
Yohandry Orozco, pemain import baharu Gergasi Merah dilihat semakin serasi beraksi bersama pasukan. Kelebihan hantaran-hantaran tepat beliau banyak membantu pasukan dalam membuat serangan serta menjaringkan gol. Untuk rekod, beliau telah membuat tiga ‘assist’ setakat ini bersama skuad Merah Kuning.
Gandingan jentera Pertahanan yang menarik
Barisan pertahanan telah beraksi dengan cemerlang dalam menghalang serangan-serangan daripada pasukan Sri Pahang. Dua center back di separuh masa pertama, Yazan Al-Arab dan pemain yang kali pertama beraksi sebagai kesebelasan utama untuk musim ini, Harith Haiqal telah beraksi dengan cemerlang mematahkan serangan Kpah Sherman. Selain itu, Quentin Cheng dan Khuzaimi Piee juga telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik di bahagian kanan dan kiri pertahanan. Begitu juga, Zikri Khalili dan Ruventhiran yang telah masuk di separuh masa kedua menggantikan Harith Haiqal dan Khuzaimi Piee yang mengalami kecederaan dalam perlawanan.
Khairulazhan menambah jumlah ‘Cleansheet’
Khairulazhan terus kekal mempamerkan persembahan yang baik dengan merekodkan ‘Cleansheet’ yang ke-32 beliau setelah berjaya menyelamatkan gawang skuad Gergasi Merah daripada bolos untuk yang keempat kali musim ini.
Walau bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada semua pemain yang telah menjadikan #SELSRP semalam antara perlawanan terbaik Selangor setakat ini.
Tidak lupa juga, para penyokong Gergasi Merah yang hadir perlawanan semalam bagi memberi sokongan padu di belakang pasukan. Ribuan terima kasih kami ucapkan.
Semoga pasukan dapat mengekalkan persembahan terbaik dalam perlawanan seterusnya. Ayuh Merah Kuningku!
Demi Kebanggaan!